Pernah kau rasa macam kau hilang?
Pernah kau rasa macam kau kosong?
Pernah kau rasa macam kau seorang?
Pernah kau rasa macam kau bolong?
Itulah nama dia kehidupan.
Dalam hidup ni, kita kena tempuh semua fasa.
Fasa untuk berkawan, pilih kawan, bersahabat. Fasa untuk ambik masa bersendiri, fasa untuk bersendiri dan berkurung sendiri, dan fasa memang untuk ditinggalkan sendiri.
Sebab apa kita semua harus lalui semua fasa ni?
Mungkin.
Suatu waktu Allah yang pilih untuk kau menyendiri, fasa untuk hanya kau dan Tuhan. Fasa untuk kau lebih memilih Tuhan berbanding memilih sahabat dan kawan.
Pernah suatu waktu, dalam kecoh dunia, tapi kau tetap rasa sunyi?
Itu biasa.
Kerana apa?
Kerana Allah sedang rindukan kau.
Allah sedang panggil engkau untuk balik pada Dia.
Dia tak pernah paksa.
Tapi dia sedang menunjukkan rasa dalam jiwa.
Dia sedang menjentik hati kau yang kosong tu,
Untuk balik pada Dia, merendah dan menunduk pada Dia.
Tuhan sedang beritahu bahawa dunia yang kau berpijak sekarang,
bukan segala.
Andai suatu waktu,
Kau berjalan di khalayak pun, kau rasa kosong,
Itu sudah petanda bahawa Tuhan sedang menjentik hati kau.
Bersyukurlah.
Tuhan masih sudi memandang kita.
Andai.
Suatu waktu, bila kau pulang ke jalan Tuhan,
Ada saja manusia yang mengejek, ada saja manusia yang jelek.
Jangan dirisau.
Masih ada Khaliq yang sudi memandang.
Masih ada Rabb yang sudi mengusap jiwa halus kita.
Masih ada Rahman yang sudi mengasihi kita.
Masih ada Latif yang sudi melembutkan hati kita.
Allah tahu isi hati kita.
Manusia tidak pernah.
Allah tahu kau mahu berubah.
Menjadi terisi dengan Kalam Tuhan, Sunnah Utusan.
Tidak lagi bolong dan lohong tanpa rasa.
Namun.
Rigidnya begitu.
Kalau kau pernah menjadi pendosa,
Di mata manusia, kau tak pernah layak memilih syurga.
Ya. Itu kiraan manusia.
Tapi, kawan.
Tuhan itu lebih tahu hati kita.
Kenapa kita pulang kepada Nya juga, Dia tahu.
Kita yang tak pernah tahu apa,
Sekurangnya, kita tahu jalan mana yang perlu untuk pulang.
Itu sudah memadai.
Jika punya peluang,
Tariklah juga mereka yang songsang
Menganggap esok masih siang.
Jangan lupa.
Malam ini, belum tentu kita di redhakan.
Kalau tak mampu dengan tangan,
Tetaplah dengan doa dan perasaan.
Moga Allah jentik pula hati mereka.
Dapat sama-sama pulang.
Kerana kita semua layak memilih syurga,
Bahkan diberi pilihan untuk menolak An-Nar Tuhan!