Khusyuk Dalam Solat? Apa Tu??

Kisah 1:

Pada suatu ketika, peha Sayyidina Ali r.a. telah terkena panah. Apabila cuba dicabut, beliau merasa begitu sakit. Seseorang telah mencadangkan supaya panah itu dicabut ketika beliau sedang solat. Apabila selesai solat, beliau bertanya sudahkah mereka mencabut panah tersebut. Mereka menjawab ya. Apabila ditanya, apakah beliau tidak merasa sakit? Beliau menjawab, beliau sedikit pun tidak merasa sakit.

Kisah 2:

Pada suatu ketika di medan jihad, Nabi Muhammad s.a.w. telah bertanya kepada para sahabatnya, siapakah yang bersedia untuk menjaga khemah beliau pada waktu malam. Dua orang sahabat telah bersetuju. Seorang bernama Ammar bin Yasir r.a dan seorang lagi bernama Abbad bin Basyir r.a. Pada malam itu mereka telah berkawal. Abbad telah mencadangkan kepada Ammar supaya mereka berkawal secara bergilir-gilir. Beliau akan menjaga pada sebahagian malam dan Ammar akan berkawal pada sebahagian malam lagi. Ammar telah bersetuju. Maka Abbad telah berkawal. Sementara berkawal beliau telah mendirikan solat. Dalam solatnya itu, beliau telah membaca surah Al Kahfi. Seorang peninjau musuh telah melihat beliau sedang solat lalu melepaskan panah kepadanya. Satu anak panah telah kena pada badannya. Apabila melihat beliau masih tetap solat, maka musuh telah melepaskan panah yang kedua. Bagaimanapun, Abbad tetap juga solat. Musuh tersebut melepaskan panah yang ketiga, lalu Abbad memberhentikan solatnya. Apabila melihatkan keadaan itu dan terlihat Ammar yang berada di situ, maka pihak musuh menyangkakan masih ramai lagi tentera Islam yang berkawal di situ. Lalu musuh tersebut telah melarikan diri. Dengan badan yang berlumuran darah, Abbad telah mengejutkan Ammar yang sedang tidur. Melihatkan badan sahabatnya yang berlumuran darah itu, Ammar begitu terkejut. Ammar bertanya mengapa beliau lambat membangunkannya. Dia menjawab, ketika itu beliau merasa sungguh nikmat dan malu dengan Allah untuk menghentikan solatnya. Tetapi apabila panah yang ketiga mengenai dirinya, beliau bimbang akan keselamatan Nabi S.A.W., maka kerana itulah dia memberhentikan solatnya. Kalau tidak sudah pasti dia tidak akan menghentikan solatnya dan rela mati dalam keadaan demikian.





Kita macam mana? Aku macam mana? Tak tahulah Allah terima atau tidak solat aku, bacaan AlQuran aku. Aku cuma harap satu aje. Harapnya, pahala solat, pahala bacaan AlQuran tu diterima dan sedikit sebanyak akan kena jugak tempias pada arwah ayah dan arwah along. Inshallah. 

Khusyuk solat ni, bukan semua orang dapat. Khusyuk solat ni, nak dapat bukan mudah, kalau dah dapat jangan riak. Sebab kalau wujud riak, Tuhan tarik balik khusyuk tu. Khusyuk dalam solat tu, kalau nak dapat, tak boleh ada niat ujub, riak dan takbur, Allah marah. Yang pasti, harus di ingat, khusyuk dalam solat tu, nak dapat kena bersihkan dulu titik noda dalam hati kita.


Semoga Allah meredha setiap perbuatan solat kita.

No comments:

Post a Comment