|Biarkan Dia Bahagia| part 4

PANGGGGGGGGG!!!!!!!!!!
                Satu penampar hinggap di pipi Mizi. Terasa kebas pipinya.
                “Kau memang dah melampau, Mizi! Sanggup kau tinggalkan isteri kau. Mujur dia sakit nak bersalin sebelum bertolak balik kampung. Macam mana kalau dia sakit masa dalam perjalanan? Kampung dia bukan dekat. Kau memang dah benar-benar melampau!” Fairuz meledakkan berangnya.
                Benar! Dia sudah hilang sabar dengan Mizi. Sanggup Mizi meninggalkan isterinya yang sedang sarat dan sudah dimaklumi bahawa bila-bila masa saja Sarah akan bersalin.
                Mak Nab cuba menenangkan anak sulungnya itu. Dia benar-benar bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku.
                Lagi pula, dia perasan ada mata yang sedang memandang mereka.
                “Aku tak tahu macam mana nak cakap dah kat kau! Kau memang dah melampau. Sanggup kau tinggalkan isteri kau yang tengah sarat semata-mata sebab perempuan murah tu!” Tengking Fairuz.
                “Dahlah tu. Bagi dia pergi tengok Sarah dulu.” Pujuk Pak Ahmad.
                Sejak tadi Pak Ahmad diam. Dia tahu dan cukup kenal dengan anak sulungnya itu. Fairuz seorang yang sangat susah marah. Tapi bila barannya menguasai, dia susah untuk mengawalnya lagi. Tambah lagi, bila orang yang dia sayangi dilukai.
***************
                Mizi berjalan ke bilik khas yang menempatkan isterinya. Dia perlu melihat sendiri keadaan Sarah yang dikhabarkan sangat lemah kerana tumpah darah. Semuanya dia ketahui apabila melihat pakaian Fairuz yang penuh dengan darah.
                Masih terngiang-ngiang segala pertanyaannya kepada mak dan abangnya itu, sebelum dia ditampar oleh Fairuz.
                “Kenapa dengan baju along? Macam mana keadaan Sarah?” Mizi berlari mendapatkan keluarganya.
                Tiada siapa yang menjawab.
                “Mak, jawablah Mizi tanya ni.” Rayu Mizi.
                “Kenapa kau tinggalkan Sarah, walaupun kau tahu yang Sarah dah sarat? Kenapa kau tinggalkan dia untuk betina tu? Kau dah hilang akal ke, Mizi? Mak tak tahu nak cakap apa dah dekat kau. Kau pandai-pandailah fikir sendiri. Banyak sangat isteri kau fikir pasal kau, sampai tumpah darah masa nak bersalin tadi. Mujurlah dia sakit nak bersalin masa baru nak bertolak balik ke kampung dia. Kalau dia sakit masa dalam perjalanan? Mak takkan maafkan kau, kalau jadi apa-apa pada dia, Mizi!Sekarang ni anak kau dah selamat, tapi dia? Dia tengah bertarung dengan nyawa dia sendiri. Moga Allah aje yang selamatkan Sarah!”       
                Mizi terpana. Serentak itu juga, penampar Fairuz hinggap di pipinya.
*******************
                Mizi menggosok pipinya yang masih kebas dek kerana penampar Fairuz tadi.
                Dia tidak terasa ingin marah terhadap Fairuz. Kerana dia tahu, dia yang bersalah dalam hal ini. Jika dia tidak keluar dengan Hana tadi, mungkin perkara ini tidak akan terjadi. Lagi pula, dia bersalah kerana telah mungkir pada janjinya terhadap Sarah untuk keluar bersama.
 Cuma dia hairan, mengapa Sarah dikatakan akan pulang ke kampung? Sedangkan mereka sudah berjanji yang mereka akan pulang bersama-sama ke kampung mak ayah Sarah.
                Dia masuk ke bilik khas yang menempatkan Sarah.
                Melihat saja keadaan Sarah, air matanya laju mencurah. “Sarah, kenapa jadi macam ni, sayang? Maafkan abang. Abang tak sangka akan jadi macam ni. Abang betul-betul mintak maaf. Abang keluar sebab nak putuskan hubungan dengan Hana, sayang. Abang dah tahu, siapa sebenarnya Hana tu, sayang. Betul cakap Sarah, Hana tak pernah putuskan hubungan dia dengan Fikri. Abang mintak maaf, sayang. Abang jadikan Sarah mangsa keadaan.”
                Mizi menggenggam erat tangan Sarah yang kaku di katil.
                “Ya Allah! Kau selamatkanlah isteriku. Dia seorang isteri yang cukup setia, Tuhan. Dia seorang isteri yang sangat cinta kepada suaminya, iaitu aku. Tapi, ampunkan aku kerana tidak menghargai anugerah yang telah Kau berikan kepadaku ini. Kau panjangkanlah usianya, Tuhan. Supaya kami dapat bersama-sama membesarkan zuriat kami.” Doa Mizi di dalam hati tanpa putus.
                Di dalam hatinya kini penuh dengan rasa penyesalan kerana telah mensia-siakan Sarah. Menyesal kerana telah meninggalkan Sarah ketika Sarah sangat memerlukan perhatian seorang suami. Menyesal kerana meninggalkan dan membiarkan Sarah di saat Sarah menanggung beban kesakitan melahirkan zuriatnya.
                Dan dia meninggalkan seorang isteri yang cukup setia demi seorang perempuan yang tidak halal untuknya. Meninggalkan seorang isteri hanya kerana mengikutkan hawa nafsunya.
                “Maafkan abang, sayang!” Hanya itu yang mampu dia ucapkan walaupun dia tahu yang Sarah masih lena dan tidak akan mendengar kata maaf dan penyesalannya itu.

**************************
                Mizi terlena di sisi katil Sarah.
                Sarah tersedar daripada lena.
                Apabila terasa ada sedikit pergerakan pada tangannya, Mizi terjaga. Sememangnya dia menunggu Sarah sedar daripada lena.
                Ingin dikejut, terasa tidak sampai hati. Wajah isterinya kelihatan sangat pucat.
                “Abang, kenapa tidur kat sini? Kenapa tak balik rumah aje? Kenapa tak terurus sangat ni?” Sarah menimbulkan persoalan bertubi-tubi terhadap Mizi.
                Mizi menggenggam erat tangan Sarah.
                “Tak apa. Demi isteri sebaik Sarah, abang rela. Maafkan abang, sayang.” Pinta Mizi.
                “Kenapa ni?” Tanya Sarah, hairan.
                “Abang tinggalkan sayang saat sayang perlukan abang di sisi. Saat sayang melahirkan zuriat abang, abang tak ada untuk temankan sayang.” Beritahu Mizi.
                “Tak ada apalah,bang. Sarah pun tak tahu yang Sarah nak bersalin hari ni. Sarah baru je masuk Sembilan bulan. Ingatkan lagi dua tiga hari.” Beritahu Sarah pula.
                “Kenapa Sarah nak balik kampung?” Tanya Mizi tiba-tiba.
                Sarah diam.
                Tiba-tiba pintu terkuak. “Puan Sarah. Dah sampai masanya, puan susukan anak puan ni.” Seorang jururawat masuk ke wad yang menempatkan Sarah.
                “Ya, nurse.” Sarah tersenyum.
                Mizi terpesona melihat wajah isterinya yang mengukir senyuman. Sudah lama dia tidak melihat senyuman indah isterinya itu. Baru dia tersedar, sudah lama dia terleka dengan yang tidak halal untuknya, sedangkan yang halal untuknya, sudah cukup sifat sebagai seorang wanita yang cantik dan solehah.
                Dia rupanya tidak sedar, dia terlalu merindukan senyuman manis isterinya itu.
                Jururawat menyerahkan bayi itu ke dakapan Sarah. Terus Sarah menyelak bajunya, dan rakus anak itu menghisap susu. ‘Pasti kamu sangat lapar, sayang.’ Sarah mengomel sendirian di hati.
                Sementara itu, Mizi bangun dan membetulkan duduk isterinya yang kelihatan sedikit tidak selesa, agar lebih selesa. Setelah itu, dia menyanggulkan rambut Sarah yang hitam berkilat dan panjang ke kepala. Dia tahu, Sarah pasti tidak selesa dengan keadaan rambutnya yang dilepaskan.
                Sarah mengukir senyuman terhadap Mizi. ‘ Sungguh, kau mengenali siapa isterimu, abang!’ ujarnya di dalam hati sendirian.
                “Muka anak kita, mirip abang. Nanti, bila dah besar, sayang harap akan jadi orang Berjaya macam papa dia.” Ujar Sarah.
                Ada nada sayu pada suara itu.
                Ya! Dia memang terasa sayu. Kerana ini mungkin kali terakhir Mizi akan memanjakannya seperti sebentar tadi. Dan nanti, mereka akan berpisah.
                Mizi akan ada kehidupannya sendiri selepas ini. Begitu juga Sarah dan anak mereka itu.
                Mizi tersenyum. “Dan abang harap, dia akan jadi soleh macam mama dia.” Lantas Mizi mencium pipi dan dahi isterinya itu.
                ‘Abang tak akan tinggalkanmu, sayang!’ Ujarnya di dalam hati.
                “Boleh abang dukung baby kita?” Mizi memandang Sarah.
                Sarah tersenyum, lantas Mizi mendapatkan anak di pangkuan isterinya yang baru selesai menyusu.
                Nampaknya bayi itu cukup selesa bila di pangkuan ayahnya. Bayi itu lena di pangkuan Mizi.
                Mizi terharu dan sekali lagi, air matanya tidak dapat di tahan. Lantas, dia sekali lagi mencium dahi isterinya.
                “Terima kasih, sayang. Sebab sudi mengandungkan anak abang!”
                Sarah juga menitiskan air mata. Dia bahagia dalam derita di hatinya.

No comments:

Post a Comment